Any comment just emel me at syrupalvez@gmail.com
>>>>HAK CIPTA TERPELIHARA>>>>>
Penulis:Asyraf Alvez
Gred: A
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
ISU BULI!!!!!
PENGENALAN
Pada era globalisasi kini, Malaysia dilanda satu gelombang yang amat membimbangkan iaitu kebobrokan sosial yang menimpa golongan remaja.Hal ini menyebabkan media arus perdana negara semakin dihujani oleh berita gejala sosial remaja yang sehingga kini sukar diperangi sehingga ke akar umbi.Ia termasuklah gejala buli yang kembali menjadi topik hangat yang menghiasi dada-dada akhbar utama (seperti contoh keratan akhbar di bawah) mahupun media alternatif yang lain seperti televisyen, radio dan sebagainya.
KUCHING, 2 Mac - Sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat dekat Mukah yang terlibat dengan kes buli pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut dibebaskan dengan jaminan polis. (Utusan Malaysia,3 Mac 2009).
KUALA LUMPUR, 24 Feb - Polis sedang memburu empat lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes seorang pelajar, Mohd. Hadzrin Mohamad yang maut selepas lapan hari koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja lelaki di Cheras, Sabtu lalu. (Utusan Malaysia,25 Februari 2009)
Walaupun secara amnya remaja kini mengalami anjakan paradigma dan proses transformasi terutamanya bidang akademik, tetapi gejala buli ini semakin menjadi-jadi terutamanya melibatkan remaja yang memberi gambaran bahawa remaja kini semakin terhakis dari segi akhlak dan sahsiahnya.
Buktinya, sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka tersebut meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.Menurut Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh dan membuli. (Remaja makin bangga, seronok buat jenayah, http://pismppengajiansosial.blogspot.com/2009_04_01_archive.html).
Definisi Buli
Menurut kamus dewan edisi ke-4 buli boleh diinterpretasikan sebagai perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. The American Heritage ® Dictionary mengatakan “bully (noun); A person who is habitually cruel or overbearing, especially to smaller or weaker people”. Menurut Hazler dan Hoover pula yang dipetik di dalam bukunya yang bertajuk “Developmental Psychology Childhood and Adolescence” yang diterbitkan pada tahun 2006, buli bolehlah ditakrifkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang dan dilakukan berkali-kali terhadap mangsa. Menurut Kenneth S Trump dalam bukunya Classroom Killers? Hallway Hostages?: How Schools Can Prevent and Manage School Crises, buli akan melahirkan sekumpulan orang muda yang bertindak sebagai penyerang. Menurut Rigby (1996) pula,tingkah laku buli boleh diassimilasikan sebagai perbuatan menekan atau menindas sama ada secara fizikal atau psikologi oleh seseorang yang lebih berkuasa terhadap seseorang yang tidak berkuasa..Manakala Banks (2000) pula, mentakrifkan buli sebagai perbuatan mempersendakan, menghina, mengancam, memukul, mencuri,dan serangan-serangan langsung yang dimulakan oleh seseorang atau lebih kepada mangsa.Seterusnya,menurut persepktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman sesawang rasmi, (http://www.rmp.gov.my), buli bermakna perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing.
Ciri-ciri Pembuli (Pemangsa)
Kebiasaannya,pembuli terdiri daripada pelajar senior tanpa mengira gender. Pembuli selalunya bertubuh tegap, berbadan besar dan tinggi.Pembuli juga biasanya pernah mengalami mangsa buli semasa bergelar pelajar junior dan ingin membalas balas perbuatan itu.Pembuli selalunya bergerak dalam kumpulan dan biasanya usia mereka adalah sebaya.
Ciri-ciri Mangsa buli
Secara amnya,mangsa buli majoritinya terdiri daripada pelajar junior lelaki dan perempuan yang mempunyai saiz fizikal yang kecil,sering dipandang sebagai lemah dan tidak kuat..Kebiasaannya, individu ataupun kelompok kecil menjadi mangsa buli.
Jenis-jenis Buli
Menurut laman sesawang rasmi PDRM (www.rmp.gov.my), buli boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu buli fizikal dan mental. Buli fizikal melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit, atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan. Paling ganas boleh menyebabkan kematian.Manakala buli mental pula lebih kepada ejek-mengejek. Misalnya, jika nama pelajar atau nama bapa pelajar agak luar biasa, maka itu akan dijadikan bahan ejekan pelajar senior yang membuli. Sungguhpun, kes buli jenis ini kurang mendapat perhatian media massa, ia sebenarnya serius berlaku di sekolah.
PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA KES BULI DALAM KALANGAN REMAJA
“Kalau tiada angin, masakan pohon boleh bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku mempunyai puncanya. Punca berlakunya gejala buli boleh kita lihat dari aspek individu,pengaruh rakan sebaya,keluarga,sekolah,pengaruh media dan kurang penghayatan nilai-nilai agama dan moral.
Punca berlakunya gejala buli boleh kita soroti dari faktor individu yang merujuk kepada sikap, perasaan serta emosi yang mendorong pelajar melakukan perbuatan membuli. Menurut tokoh ilmuan islam Al-Ghazali (1058-1111) menyatakan bahawa nafsu, hati dan akal seseorang merupakan faktor penting yang mempengaruhi individu. Kebanyakan kes buli ini dikatakan berpunca daripada sikap remaja sendiri yang terlalu mengikut gelodak jiwa, yang seiring dianggap suka memberontak dan sifat ingin tahu yang membuak-buak sehinggakan membelakangkan peraturan. Faktor pengalaman pernah dibuli turut menjadi punca berlakunya gejala buli.Hal ini akan menyebabkan mereka terlalu mengikut rasa hati, yang menyebabkan tekanan perasaan / naluri ingin membalas dendam akibat perbuatan yang pernah pemangsa alami sabelum ini. Faktor individu ini termasuklah pembuli merasakan tindakan mereka hanya untuk tujuan berseronok dan ingin menunjukkan kekuatan fizikal diri. Akibatnya, golongan yang tidak berdosa menjadi mangsa.Oleh itu, gejala buli ini amat berkait rapat dengan dalam diri seseorang dan di sinilah letaknya peranan seseorang remaja agar bijak mengawal emosi agar tidak membuli orang lain sebagai jalan penyelesaian masalah yang dihadapi.
Faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tingkah laku pelajar (Buli, http://www.rmp.gov.my).Hal ini kerana majoriti remaja menghabiskan masa dengan rakan sebaya terutamanya remaja yang tinggal di asrama. Menurut kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran di bawah Bahagian Sekolah, Unit Hal Ehwal Murid mendapati, rakan sebaya berpotensi mempengaruhi lebih daripada 60 peratus sikap dan kelakuan rakannya hasil daripada pergaulan seharian. Sudah terang lagikan bersuluh, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Sekiranya rakan-rakan merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perlakuan itu supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.
Faktor seterusnya ialah berkait rapat dengan keluarga. Olwes (1978) dalam Besag, (1989) mengatakan bahawa antara faktor-faktor pelajar membuli,faktor keluarga merupakan faktor yang paling signifikan..Seterusnya Mitcel dan O’Moore (1988) dalam Besag, (1989) mendapati satu pertiga daripada mereka yang terlibat dalam buli sama ada mangsa buli atau pembuli, masing-masing mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah.Kebiasaannya ibu bapa yang bertelagah cenderung mempunyai risiko untuk anak-anak mereka menjadi agresif. Kesibukkan ibu bapa yang individualistik dan materialistik mengejar kekayaan duniawi turut mengekang mereka untuk menghabiskan waktu mereka dengan anak-anak. Kasih sayang dan belaian mesra akan kurang disalurkan kepada anak-anak..Impak daripada senario ini, remaja tersebut akan memberontak dan akan membuli orang lain sebagai cara untuk melepaskan kemarahan mereka. Buli ini juga merupakan cara mereka mengekspresikan emosi mereka dengan cara yang salah.
Selain itu, punca buli juga sering dikaitkan dengan sekolah.Hal ini kerana kebanyakkan kejadian buli yang berlaku belakangan ini berlatarkan sekolah berasrama yang mempunyai peraturan yang ketat. Konflik jiwa, pemberontakan batin dan rasa tidak puas hati pelajar terhadap undang-undang dan dasar pendidikan akan menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara di luar jangkaan seperti mencederakan rakan-rakan, membuli dan sebagainya (Utusan Malaysia, 12 Julai 2002).Seterusnya Abdul Latif (2005),menyatakan salah satu faktor yang berpunca dari sekolah yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan kemerosotan displin adalah berpunca daripada guru disiplin yang tegas dan keterlaluan dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar tanpa melihat latar belakang keluarga dan sebab pelajar melakukan perkara tersebut.
Di samping itu, pengaruh media juga memainkan peranan dalam menularnya kes buli ini. Umum mengetahui bahawa media kini berpaksikan hiburan dan berkiblatkan keuntungan. Secara umumnya kita telah disuap dengan pelbagai rancangan dari dalam mahupun luar negara,yang ada kalanya mempunyai unsur keganasan,negatif serta tidak menunjukkan budi bahasa dan tatasusila yang luhur. Oleh kerana naluri remaja yang ingin selalu mencuba yang baru, pengaruh keganasan yang diterima melalui media amat cepat meresap ke benak remaja.Hasilnya mereka mengambil keputusan untuk membuli golongan yang lemah. Antara contoh filem yang memaparkan realiti kes buli ialah filem “Buli” dan “Buli Balik” arahan Afdlin Shauki. Filem ini dilihat mampu membantu menaikkan semangat mangsa buli untuk terus yakin pada diri. Namun, filem ini juga dkecam kerana memaparkan budaya buli yang dapat mempengaruhi remaja. Terpulanglah kepada kita untuk menilai media yang kita tonton.
Faktor lain ialah kurangnya penghayatan nilai-nilai agama dan moral.Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dan keterlaluan dalam tindakan. Hal ini dapat kita saksikan pada 3 Mac 2009,seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar, Pekan, Pahang, Mohd Azwan Md Ribi, 15, melecur teruk lengan kanannya diseterika senior di asrama hanya kerana enggan membelikan rokok. Melalui senario ini kita dapat lihat kurangnya penghayatan nilai-nilai agama dan moral menyebabkan pincangnya akhlak lalu berakhir dengan kes-kes buli seperti yang dinyatakan. Sesungguhnya remaja patut berpegang teguh dengan ajaran agama agar mampu mejalani hidup dengan lebih baik kerana kes buli adalah satu contoh aktiviti yang tidak bermoral.
LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL GURU DISIPLIN BAGI MENANGANI MASALAH BULI BERDASARKAN TEORI TINGKAHLAKU PEMBELAJARAN.
Masalah tingkah laku pelajar yang suka membuli dapat dilihat dengan jelas melalui model pelaziman klasik yang diasaskan oleh Ivan Pavlov. Secara tuntasnya,sesuatu yang berlaku biasanya tidak terlazim tetapi apabila sentiasa diulang ia akan menjadi terlazim.Sebagai contohnya, seorang pelajar senior yang gemar membuli (gerak balas tidak ter;azim) akan mendapat rangsangan untuk membuli apabila terlihat pelajar junior bersaiz kecil melintasinya (rangsangan tidak terlazim).Pelajar junior yang dibuli merupakan gerak balas.Dalam fasa ini yang digelar sebelum pelaziman, membuli merupakan rangsangan tidak terlazim kerana ia bersifat sekali sekala. Pada fasa ini,pelajar senior juga tidak mempunyai gerak balas sekiranya melihat guru disiplin (rangsangan neutral) yang belum mengesan tindakannya. Semasa proses perlaziman, pembuli (gerak balas tak terlazim) semakin rancak membuli sehinggakan mangsa mengadukan hal tersebut (rangsangan tidak terlazim) kepada guru disiplin (rangsangan neutral). Guru disiplin masih dalam rangsangan neutral kerana perlu meneliti aduan dan menyiasat perkara ini hingga ke akar umbi dengan bantuan lembaga pengawas. Dalam fasa selepas pelaziman, pembuli akan mengalami gerak balas terlazim sebagai contohnya perasaan takut ekoran guru disiplin (rangsangan terlazim) mengetahui perbuatan dan mengambil tindakan kepada pembuli tersebut. Melalui teori ini jelaslah bahawa guru disiplin mampu menangani kemelut ini.
Antara caranya ialah memastikan pengawas agar mengawasi tempat-tempat yang sunyi di kawasan sekolah.Ini dapat mengekang pembuli daripada mendapat gerak balas untuk membuli. Guru disiplin juga bertanggungjawab untuk mendidik pelajar senior agar mereka memainkan peranan mereka yang betul iaitu membantu pelajar junior. Selain itu, guru disiplin juga harus memberikan nasihat yang berterusan dan berhikmah agar pembuli tidak mengulangi perkara tersebut.
Menerusi teori tingkah laku perlaziman operan Thorndike yang diperkenalkan oleh Edward Lee Thorndike. Teori ini sering juga disebut “Trial and error” atau “cuba jaya”. Beliau juga memperkenalkan hukum kesan. Hukum kesan menyatakan sekiranya satu kesan itu positif,maka tingkah laku yang sama cenderung untuk berulang dalam situasi yang sama.Manakala jika kesannya negatif, tingkah laku yang sama cenderung untuk tidak berulang.Dalam hukum kesan terdapat kaedah ganjaran vs hukuman.Kaedah ini jika kita lihat dari sudut kes buli amatlah bertepatan.Individu kerana pembuli patut dihukum dan individu yang membantu mangsa patut diberi ganjaran serta keberanian mangsa melaporkan kes tersebut juga patut dipuji. Teknik cuba jaya ini patut dilaksanakan oleh guru disiplin kerana amat sukar untuk menyedarkan pembuli pada awalnya. Untuk memastikan pembuli benar-benar sedar, pelbagai langkah dan hukuman patut dberikan.Hal ini bagi menangani kes buli dalam kalangan remaja.
Seterusnya,menurut teori pelaziman Skinner,terdapat dua prinsip utama iaitu peneguhan dan denda.Peneguhan boleh dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan positif atau negatif.Menurut Skinner, apabila gerak balas atau tingkah laku yang dihasilkan memuaskan, peluang mengulang tingkah laku operan ini akan bertambah. Skinner juga menyatakan apabila sesuatu gerak balas operan diikuti dengan sesuatu peneguhan positif, sebagaiman yang disebut oleh Thorndike sebagai sesuatu yang memuaskan maka kebarangkalian sesuatu gerak balas operan itu akan bertambah. Peneguhan positif di sini berfungsi sebagai ganjaran yang mendorong individu berulang-ulang gerak balas responden tersebut. Peneguhan positif di sini adalah seperti pujian, ganjaran dan lain-lain. Dalam konteks kes buli, guru disiplin boleh memberi ganjaran kepada pelajar yang melaporkan kes buli di sekolah. Selain itu, pemberian ganjaran kepada mangsa yang dibuli juga dilihat sebagai satu teknik agar mangsa buli berterusan memberikan maklumat tentang pembuli tersebut.
Peneguhan negatif pula merupakan stimuli yang dipindahkan atau dihapuskan demi memantapkan tingkah laku positif agar ia dapat dilakukan. Teknik penghapusan adalah bertujuan untuk memberhentikan atau menyekat murid-murid daripada melakukan tingkah laku negatif seperti mendenda atau merotan pelajar yang melakukan kesalahan.Denda pula ditakrifkan sebagai apa jua rangsangan yang menyebabkan kebarangkalian sesuatu gerak balas atau tingkah lakunya yang terhasil berkurang atau terhapus. Teknik ini dilihat mampu untuk membawa pembuli untuk kembali semula ke jalan yang benar. Guru disiplin harus mendenda pembuli ini dihadapan khalayak contohnya semasa perhimpunan,agar ia boleh jadi pengajaran kepada orang lain. Tindakan disiplin, merotan, dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada pembuli.
Secara tuntasnya langkah lain yang guru disiplin boleh lakukan ialah dengan mengadakan program motivasi dengan kerjasama unit kaunseling agar para pelajar boleh didedahkan tentang kesan perbuatan membuli. Selain itu, guru disiplin perlu mencanangkan kempen ”hentikan buli” yang telah lama diperkenalkan serta memastikan pelajar tahu hotline 1-800-88-4774 serta saluran yang betul sekiranya mereka dibuli. Selain itu, guru disiplin perlu bekerjasama dengan Persatuan Ibubapa dan Guru bagi memantau kes ini dan duduk di meja bulat bagi mencari solusi terbaik untuk menanagni gejala ini. Guru disiplin juga harus lebih aktif dalam memantau pergerakan pelajar di sekolah terutamanya sekolah berasrama. Seterusnya guru disiplin juga harus mesra dengan pembuli dan mangsa agar jalan penyelesaian mampu dicapai. Akhir sekali, pendekatan secara holistik juga boleh diguna pakai.
IMPLIKASI KES BULI
Kesan yang paling nyata ialah kepada mangsa buli.Kesan tersebut boleh dibahagikan kepada kesan dalaman dan luaran.Bagi kesan dalaman,mangsa akan kurang keyakinan diri, takut untuk ke sekolah, sanggup melakukan perkara yang disuruh oleh pembuli.dan ada juga yang sanggup mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri tidak berguna atau bodoh. Kesan luaran pula ialah mangsa menghadapi kecederaan,trauma,kematian dan mempunyai perasaan untuk membalas dendam. Seteusnya,buli juga memberi kesan luaran kepada pembuli.Antaranya ialah pembuli cenderung untuk melakukan jenyah yang lebih agresif apabila dewasa kelak. Gejala ini juga menyukarkan pihak sekolah mewujudkan susana kondusif dalam pembelajaran. Kes buli ini juga memberi impak negatif kepada negara dan merosakkan imej negara.
Kesimpulan
Kesimpulannya, masalah buli yang berlaku pada era pascamerdeka ini bukanlah hanya disebabkan pelajar itu sendiri. Secara majornya,permasalahan remaja berpunca daripada kegagalan pelbagai pihak mengatasinya..Oleh itu,kemelut masalah buli tidak patut di pandang enteng. Semua pihak perlulah berganding bahu, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi membendung masalah buli ini agar tidak menjadi barah yang merosakkan generasi pelapis negara. Pelbagai teknik dalam teori tingkah laku pembelajaran dapat diaplikasikan bagi menangani masalah yang semakin meruncing dalam kalangan generasi muda terutamanya pelajar sekolah Pelajar sekolah yang merupakan bakal peneraju pucuk pimpinan negara perlu mengelakkan diri dari terjebak dalam kancah buli. Disinilah relevannya gejala ini perlu diperangi hingga ke akar umbi. Sekiranya gejala ini terus dibiarkan tanpa noktah, aspirasi mantan perdana menteri malaysia,Tun Dr Mahathir Mohammad iaitu Wawasan 2020 akan terkubur begitu sahaja, menjadi omong kosong belaka dan seterusnya menjadi fantasi bukannya realiti.
Buku ilmiah
Atan Long. (1998). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amir Awang.(1986). Teori-teori Pembelajaran. Selangor: Fajar Bakti.
Azizi Yahya et al. (2008). Tips Menangani Buli di Sekolah. Kuala Lumpur:PTS Professional.
Habibah Elias & Rahil Hj Mahyuddin. (1990). Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Habibah Elias & Rahil Hj Mahyuddin. (2002). Psikologi Pendidikan untuk Perguruan. Shah Alam:Karisma Publications Sdn Bhd.
Hazler dan Hoover (2006). “Developmental Psychology Childhood and Adolescence”.
Mohd Ismail Othman. (2006). Menangani disiplin di sekolah,Siri pengajian & pendidikan Utusan.Kuala Lumpur: Utusan Publications Sdn Bhd.
Mohd Ismail Othman. (2008). Undang-Undang untuk Pengetua & Guru besar. Kuala Lumpur: PTS Professional.
Mok Soon Sang. (2001). Psikologi Pendidikan. Subang Jaya:Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Kamus
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Artikel Internet
Wikipedia bahasa Malaysia:Buli.Dicapai pada 24 Ogos dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Buli.
(2009, Mac 2009).Buli:Pelajar Dibebaskan dengan jaminan Polis.Utusan Malaysia.Dicapai pada 20 Ogos 2009 dari http://www.utusan.com.my.
(2009, Mac 2009).4 diburu dua direman kes belasah maut.Utusan Malaysia.Dicapai pada 20 Ogos 2009 dari http://www.utusan.com.my.
Fairul Asmaini Mohd Pilus.(2009, Mac 7).Menangani gejala buli.Harian Metro.Dicapai pada 20 Ogos 2009 dari http://www.hmetro.com.my /Saturday/Hati/20090307093336.
Gejala Buli.Dicapai pada 21 Ogos 2009 dari http://bmjiwaku. blogspot.com/ 2009/04/gejala-buli.html.
Buli:Lakaran kata.Dicapai pada 21 Ogos 2009 dari http://mazlan66.wordpress.com/2008/02/03/buli/
Teori Thorndike.Dicapai pada 20 Ogos 2009 dari http://gitadesilestari-uin-bi-2b.blogspot.com/2008/04/teori-thorndike.html.
Debat Maya:Mengapa gejala BULI semakin serius di sekolah???.Dicapai pada 15 Ogos 2009 dari http://www.hostingphpbb.com/forum/viewtopic.php? t=159&mforum =akademidebat&sid=1a276ec3b9ab239039f48924a507b6b0. |
Faktor-faktor yang mempengaruhi kelakuan buli di sekolah menegah.Dicapai pada 15 Ogos 2009 dari www.fp.utm.my/ePusatSumber.
Remaja makin bangga, seronok buat jenayah. Dicapai pada 15 Ogos 2009 dari http://pismppengajiansosial.blogspot.com/2009_04_01_archive.html
LAMPIRAN A
SEDUTAN AKHBAR……
Sedutan dari akhbar Utusan Malaysia 3 Mac 2009………………..
Buli: Pelajar dibebaskan dengan jaminan polis
KUCHING 2 Mac - Sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat dekat Mukah yang terlibat dengan kes buli pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superitendan Martin Koo berkata, pembebasan itu dibuat setelah polis berpuas hati dengan keterangan yang diambil pada pukul 8 pagi ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati hanya sembilan pelajar terlibat dengan kes tersebut.
"Setelah berpuas hati dengan rakaman tersebut, mereka dibebaskan dengan jaminan polis petang ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Martin berkata, sembilan pelajar yang terlibat itu merupakan empat pelajar tingkatan enam, dua pelajar tingkatan lima, seorang pelajar tingkatan empat dan dua pelajar tingkatan tiga.
Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat pelajar yang merakam kejadian itu dengan menggunakan telefon bimbit.
"Mereka dipercayai secara bergilir-gilir merakam kejadian itu menerusi telefon bimbit kepunyaan salah seorang daripada mereka," jelasnya.
Sabtu lalu, sebuah akhbar tempatan menyiarkan beberapa klip video mengenai sekumpulan pelajar senior SMK Oya memukul pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan di sebuah bilik asrama lelaki.
Video klip selama tiga minit itu boleh disaksikan menerusi laman web www.youtube.com.
Martin berkata, siasatan polis mendapati, mangsa dibuli kerana kes kehilangan telefon bimbit jenis Nokia kepunyaan salah seorang daripada sembilan pelajar tersebut.
Kumpulan seramai sembilan pelajar terbabit pada 12 Februari lalu bertindak memukul mangsa sehingga dia mengaku mencuri telefon bimbit tersebut.
"Selepas itu, mangsa berjanji untuk memulangkan telefon bimbit tersebut dalam tempoh empat hari, bagaimanapun dia (mangsa) gagal berbuat demikian lalu dipukul sekali lagi," jelas Martin.
Tambah beliau, mangsa yang ketakutan mengambil cuti seminggu sehingga 23 Februari sebelum diberitahu mengenai rakaman video tersebut telah tersebar di internet menerusi rakan-rakannya.
Martin memberitahu, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sebelum diserahkan kepada Peguam Negara (AG) untuk tindakan lanjut.
Petikan
4 diburu, dua direman kes belasah maut
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Polis sedang memburu empat lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes seorang pelajar, Mohd. Hadzrin Mohamad yang maut selepas lapan hari koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja lelaki di Cheras, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, dua suspek lagi telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
"Empat lagi sedang diburu dan polis mengumpul maklumat mengenainya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Hadzrin, 16, pelajar tingkatan empat koma dibelasah sekumpulan remaja gara-gara berebut kekasih, meninggal dunia pada 21 Februari lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kira-kira pukul 3 pagi selepas tidak sedarkan diri selama lapan hari.
Mangsa diserang sekumpulan 24 remaja belasan tahun sehingga koma, berhampiran sebuah sekolah di Cheras pada 13 Februari lalu.
Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang remaja di rumah saudaranya di luar Lembah Klang, kelmarin.
Semalam, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan kes itu.
Suspek kedua itu yang direman mulai semalam, dibawa keluarganya menyerah diri di Balai Polis Pudu selepas bersembunyi sejak hari kejadian
SEDUTAN HARIAN METRO-7 MAC 2009
Menangani gejala buli
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
“MASALAH buli di kalangan masyarakat terutama remaja memang sukar dibendung 100 peratus kerana ia berkait rapat dengan latar belakang keluarga yang memberi sumbangan besar terhadap tingkah laku seseorang.
“Gejala buli ini boleh berlaku di mana-mana saja sama ada di sekolah, sekitar kawasan perumahan, rumah sendiri mahupun di pejabat tanpa mengira lokasi atau jantina.
“Ia memang sukar diatasi sepenuhnya kerana ada ibu bapa yang tidak mahu bekerjasama dan ada sekolah yang cuba menyembunyikan masalah berkenaan semata-mata tidak mahu nama baik terjejas,” demikian pendapat perunding motivasi yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, mengenai isu buli yang kini dikatakan semakin berleluasa dalam kalangan remaja.
Menurutnya, isu buli bukan sesuatu yang baru kepada masyarakat di negara ini yang dikatakan lebih kerap berlaku kepada remaja lelaki terutama di peringkat sekolah menengah namun, kes membabitkan pelajar perempuan juga semakin meningkat.
Katanya, pembuli biasanya terdiri daripada tiga golongan iaitu membuli untuk mendapatkan perhatian, mahu menunjuk kekuasaan atau pengaruh dan kemahiran intra personal yang sangat rendah.
Masalah dalaman keluarga seseorang remaja banyak mempengaruhi perwatakan mereka di luar rumah kelak dan buli boleh menjadi petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan si pembuli.
Katanya, kajian pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) ke atas punca kejadian sosial yang berlaku dalam kalangan remaja mereka mendapati lebih 75 peratus berpunca daripada keluarga yang terumbang-ambing dan bermasalah.
“Peranan ibu bapa pada era ini semakin mencabar dan tidak hanya sekadar memberi wang saku, menghantar anak ke sekolah serta membeli kelengkapan diperlukan.
“Sebaliknya, ibu bapa perlu meluangkan lebih masa dengan anak terutama bagi yang mempunyai anak remaja dan berusaha untuk menjadikan rumah itu suatu tempat yang selesa serta menggembirakan mereka.
“Ini kerana, remaja yang tidak mendapat perhatian atau kasih sayang secukupnya biasanya mempunyai perwatakan agak berbeza daripada rakan sebaya sekali gus mendorong kepada kejadian buli,” katanya.
Menyentuh soal peranan keluarga, Dr Tengku Asmadi berkata, ibu bapa perlu menggalakkan anak bercerita mengenai suasana di sekolah mereka kerana dengan cara berkenaan, ia dapat mengesan sesuatu yang tidak kena.
Dia berkata, jika anak yang menjadi mangsa, ibu bapa perlu mengajar mereka supaya lebih berani dan yakin dengan diri sendiri.
Namun, Dr Tengku Asmadi berkata, jika kejadian buli masih berlarutan serta tidak berubah, ibu bapa perlu mengambil tindakan sewajarnya iaitu melaporkan kepada pihak sekolah dan polis.
Katanya, berlainan pula jika anak sendiri yang menjadi pembuli, apabila ibu bapa perlu bersikap lebih tegas untuk menghentikan perbuatan tidak baik itu dan menasihati mereka dengan memberikan contoh masalah yang akan timbul jika masih meneruskan perangai suka membuli.
Katanya, remaja yang menjadi pembuli sebenarnya masih boleh dilentur kerana mereka sebenarnya masih naif dan tidak berfikiran matang.
“Tetapi, masalah buli ini tidak akan dapat dibendung jika ibu bapa terlalu melindungi perbuatan anak mereka dan mengelak mereka daripada dikenakan hukuman.
“Untuk itu, jangan terlalu memanjakan anak sehingga mereka melampaui batas dan sebaiknya, didik mereka untuk bertanggungjawab atas apa yang dilakukan.
“Apa yang lebih penting, ibu bapa perlu sedar, setiap hukuman yang dikenakan bukan bertujuan untuk memusnahkan masa depan mereka tetapi sebaliknya untuk membantu mereka sedar dan menyesal atas apa yang dilakukan kerana perjalanan hidup mereka masih panjang,” katanya.
Sementara itu, Dr Tengku Asmadi berkata, pihak sekolah juga perlu lebih serius dalam menangani isu berkenaan dan tidak menyembunyikan sesuatu kes buli semata-mata untuk menjaga nama baik.
“Pihak sekolah perlu mengambil langkah untuk mengenal pasti golongan pelajar bermasalah yang berpotensi menjadi pembuli.
“Golongan pelajar bermasalah ini perlu diberi lebih perhatian serta membabitkan mereka dalam aktiviti di sekolah supaya mereka berasa diperlukan dan diberi perhatian.
“Selain itu, langkah memilih pelajar ini untuk menjawat jawatan penting juga boleh membantu menangani masalah berkenaan kerana mereka akan berasa lebih bertanggungjawab dan malu dengan jawatan yang disandang sekiranya melakukan kesalahan,” katanya.
Tip elak kejadian buli
“Gejala buli ini boleh berlaku di mana-mana saja sama ada di sekolah, sekitar kawasan perumahan, rumah sendiri mahupun di pejabat tanpa mengira lokasi atau jantina.
“Ia memang sukar diatasi sepenuhnya kerana ada ibu bapa yang tidak mahu bekerjasama dan ada sekolah yang cuba menyembunyikan masalah berkenaan semata-mata tidak mahu nama baik terjejas,” demikian pendapat perunding motivasi yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, mengenai isu buli yang kini dikatakan semakin berleluasa dalam kalangan remaja.
Menurutnya, isu buli bukan sesuatu yang baru kepada masyarakat di negara ini yang dikatakan lebih kerap berlaku kepada remaja lelaki terutama di peringkat sekolah menengah namun, kes membabitkan pelajar perempuan juga semakin meningkat.
Katanya, pembuli biasanya terdiri daripada tiga golongan iaitu membuli untuk mendapatkan perhatian, mahu menunjuk kekuasaan atau pengaruh dan kemahiran intra personal yang sangat rendah.
Masalah dalaman keluarga seseorang remaja banyak mempengaruhi perwatakan mereka di luar rumah kelak dan buli boleh menjadi petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan si pembuli.
Katanya, kajian pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) ke atas punca kejadian sosial yang berlaku dalam kalangan remaja mereka mendapati lebih 75 peratus berpunca daripada keluarga yang terumbang-ambing dan bermasalah.
“Peranan ibu bapa pada era ini semakin mencabar dan tidak hanya sekadar memberi wang saku, menghantar anak ke sekolah serta membeli kelengkapan diperlukan.
“Sebaliknya, ibu bapa perlu meluangkan lebih masa dengan anak terutama bagi yang mempunyai anak remaja dan berusaha untuk menjadikan rumah itu suatu tempat yang selesa serta menggembirakan mereka.
“Ini kerana, remaja yang tidak mendapat perhatian atau kasih sayang secukupnya biasanya mempunyai perwatakan agak berbeza daripada rakan sebaya sekali gus mendorong kepada kejadian buli,” katanya.
Menyentuh soal peranan keluarga, Dr Tengku Asmadi berkata, ibu bapa perlu menggalakkan anak bercerita mengenai suasana di sekolah mereka kerana dengan cara berkenaan, ia dapat mengesan sesuatu yang tidak kena.
Dia berkata, jika anak yang menjadi mangsa, ibu bapa perlu mengajar mereka supaya lebih berani dan yakin dengan diri sendiri.
Namun, Dr Tengku Asmadi berkata, jika kejadian buli masih berlarutan serta tidak berubah, ibu bapa perlu mengambil tindakan sewajarnya iaitu melaporkan kepada pihak sekolah dan polis.
Katanya, berlainan pula jika anak sendiri yang menjadi pembuli, apabila ibu bapa perlu bersikap lebih tegas untuk menghentikan perbuatan tidak baik itu dan menasihati mereka dengan memberikan contoh masalah yang akan timbul jika masih meneruskan perangai suka membuli.
Katanya, remaja yang menjadi pembuli sebenarnya masih boleh dilentur kerana mereka sebenarnya masih naif dan tidak berfikiran matang.
“Tetapi, masalah buli ini tidak akan dapat dibendung jika ibu bapa terlalu melindungi perbuatan anak mereka dan mengelak mereka daripada dikenakan hukuman.
“Untuk itu, jangan terlalu memanjakan anak sehingga mereka melampaui batas dan sebaiknya, didik mereka untuk bertanggungjawab atas apa yang dilakukan.
“Apa yang lebih penting, ibu bapa perlu sedar, setiap hukuman yang dikenakan bukan bertujuan untuk memusnahkan masa depan mereka tetapi sebaliknya untuk membantu mereka sedar dan menyesal atas apa yang dilakukan kerana perjalanan hidup mereka masih panjang,” katanya.
Sementara itu, Dr Tengku Asmadi berkata, pihak sekolah juga perlu lebih serius dalam menangani isu berkenaan dan tidak menyembunyikan sesuatu kes buli semata-mata untuk menjaga nama baik.
“Pihak sekolah perlu mengambil langkah untuk mengenal pasti golongan pelajar bermasalah yang berpotensi menjadi pembuli.
“Golongan pelajar bermasalah ini perlu diberi lebih perhatian serta membabitkan mereka dalam aktiviti di sekolah supaya mereka berasa diperlukan dan diberi perhatian.
“Selain itu, langkah memilih pelajar ini untuk menjawat jawatan penting juga boleh membantu menangani masalah berkenaan kerana mereka akan berasa lebih bertanggungjawab dan malu dengan jawatan yang disandang sekiranya melakukan kesalahan,” katanya.
Tip elak kejadian buli
Setiap pelajar perlu berani beri maklumat kepada pihak berkuasa atau keluarga jika mereka dibuli individu tertentu.
Sebagai rakan, anda perlu mengetahui sebarang perubahan kepada rakan anda dan segera melaporkan kepada pengawas atau guru.
Guru atau warden asrama perlu mengambil serius setiap aduan buli dan merahsiakan hal berkenaan supaya pelajar yang menjadi mangsa buli mendapat perlindungan sewajarnya.
Ketika minggu suai kenal, pihak sekolah perlu memberi penerangan terperinci kepada pelajar mengenai masalah buli dan apa yang perlu lakukan jika ada pelajar lain membuli mereka.
Memperbanyakkan sesi kaunseling kepada remaja bermasalah untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan.
Laksanakan secara serius kempen Hentikan Buli dilancarkan kerajaan tidak lama dulu
Kronologi kes buli:
Kronologi kes buli:
3 Mac 2009: Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar, Pekan, Pahang, Mohd Azwan Md Ribi, 15, melecur teruk lengan kanannya diseterika senior di asrama hanya kerana enggan membelikan rokok.
1 Mac 2009 : Seorang pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang yang tidak tahan dibuli beberapa pelajar di asrama sekolah itu sejak dua minggu lalu membuat laporan polis.
Mangsa mendakwa cedera di kepala akibat dihantuk di dinding dan dipukul seorang pelajar sekolah itu.
Mangsa mendakwa cedera di kepala akibat dihantuk di dinding dan dipukul seorang pelajar sekolah itu.
16 Februari 2009: Reduan Sami, 15, dibelasah sembilan rakannya di SMK Oya, Dalat, Sarawak, selepas gagal memulangkan telefon bimbit daripada seorang rakannya. Rakaman aksi buli mereka disiarkan di laman web You Tube
17 Ogos 2008: Sekumpulan samseng perempuan termasuk seorang lelaki membelasah seorang pelajar perempuan tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di daerah Tampin, Negeri Sembilan, menyebabkan mangsa cedera di tangan, kepala dan pinggang.
1 Ogos 2007: Seorang pelajar tingkatan dua yang sering dibuli, membawa pisau kecil ke sekolah sebelum menggunakannya untuk mencederakan dua rakan sekelas termasuk seorang yang sering membulinya.
Pelajar berkenaan mencederakan mereka dalam satu pergaduhan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24/2, Shah Alam. Difahamkan, pelajar terbabit membawa pisau itu untuk menakutkan kaki buli itu dan menggunakannya selepas tidak tahan diperlakukan sedemikian.
Pelajar berkenaan mencederakan mereka dalam satu pergaduhan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24/2, Shah Alam. Difahamkan, pelajar terbabit membawa pisau itu untuk menakutkan kaki buli itu dan menggunakannya selepas tidak tahan diperlakukan sedemikian.
17 Jun 2007: Lima belas pelajar tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Klawang, Negeri Sembilan, secara kumpulan memukul 10 pelajar tingkatan dua menggunakan batang penyapu.
10 Februari 2007: Beberapa pelajar tingkatan dua Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, dipercayai ditendang dan dibelasah sekumpulan pelajar senior hanya kerana enggan mematuhi arahan termasuk menjadi ‘kuli’ membasuh baju pelajar terbabit.
30 Januari 2007: Lapan belas pelajar asrama Sekolah Menengah (SM) Teknik Bintulu, Bintulu, Sarawak, ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan polis berhubung kematian Metheus Mering Augus, 16.
No comments:
Post a Comment